Sekarang ini terlalu banyak rancangan realiti nyanyian sehingga membuatkan setiap produksi yang menghasilkan program sedemikian berlumba-lumba untuk mencari formula berbeza bagi menarik perhatian penonton.
Cik Pang tahu disebabkan terlalu banyak rancangan realiti mencungkil bakat nyanyian, ada antara program dibuat sudah tidak mampu menarik perhatian umum.
Apatah lagi sekarang ada program mempertandingkan kembali bakat penyanyi yang pernah mencipta nama dalam bidang nyanyian seperti Gegar Vaganza. Ia jauh lebih menonjol andai hendak dibandingkan dengan program realiti nyanyian sedia ada.
Disebabkan itu juga, Cik Pang dengar sekarang ini program realiti pencarian bakat anak muda dalam nyanyian dan pernah popular, Akademi Fantasia (AF) sedang mencari formula baharu untuk tahun ini.
Memastikan kali ini Akademi Fantasia 2016 (AF2016) tampil lebih gempak, mereka merancang untuk menggabungkan juara terdahulu untuk bertanding kembali. Ibaratnya mereka mahu mencari juara antara juara.
Begitupun, perancangan yang dijalankan produksi AF2016 setakat ini berdepan dugaan besar kerana sebahagian besar juara AF musim lalu keberatan untuk menyertainya.
Ada antara teman yang mengetahui akan masalah dihadapi produksi AF2016 mula membuat telahan mengapa ramai daripada juara terbabit tidak mahu menyertainya.
Menurut mereka, ada antara juara ini takut sekiranya mereka tidak bergelar juara dalam program khas ini. Tambah pula mereka tahu kemampuan pemenang musim lain.
Cik Pang hanya tersenyum mendengar kesimpulan dibuat, tapi bersikap positif mungkin mereka ada sebab tersendiri kenapa enggan menyertai AF2016 yang bakal menghimpunkan juara musim terdahulu dan terkini.
Pertama, ada antara juara AF terdahulu sudah berkahwin. Contohnya Mila dan Stacy. Bayangkan kalau yang bergelar isteri terpaksa dipisahkan daripada suami mereka dan tinggal di tempat yang dikuarantin. Bukankah itu nanti menimbulkan masalah, tak pasal-pasal nanti cerita lain pula jadinya.
Bagi juara lelaki seperti Vince, Zahid dan Mawi mereka juga sudah berkeluarga, jadi tumpuan bukan saja pada kerjaya nyanyian tetapi juga isteri dan anak.
Sebagai ketua keluarga, kalau dikuarantin untuk memenuhi pengisian Diari AF, susah juga. Mana mungkin mereka mahu meninggalkan isteri dan anak sendirian. Sudahlah anak mereka masih kecil dan memerlukan pemerhatian penuh.
Disebabkan masalah yang berlaku ini juga kata teman yang berkongsi cerita mengenai perancangan program AF2016 mereka akan menemukan peserta yang dianggap masih popular dan relevan untuk kembali bertanding. Paling penting, tidak akan timbul masalah di kemudian hari.
Kalau itu yang dirancangkan, Cik Pang rasa okey juga. Lagipun ada antara mereka yang tidak bergelar juara tetapi masih popular dan mempunyai ramai peminat.
0 comments:
Post a Comment